Adam Charitable Foundation (ACF)

Pusat Pendidikan Komuniti Chowkit (PPKCK)

Membina Generasi Al-Fateh

Di celah kesibukan kota dan hiruk-pikuk Chow Kit, tersembunyi sebuah ruang kecil yang menyimpan cita-cita besar iaitu Pusat Pendidikan Komuniti Chow Kit atau PPKCK, Jalan Raja Bot.

Bermula sebagai sebuah inisiatif pendidikan alternatif berasaskan komuniti (Majlis Tahlil & Selawat), PPKCK lahir daripada kesedaran bahawa masih ramai anak-anak kota yang tercicir bukan kerana mereka tidak mahu belajar, tetapi kerana latar belakang keluarga dan persekitaran sosial tidak mengizinkan. Anak-anak asnaf, anak yatim, miskin bandar dan mereka yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri menjadi wajah-wajah yang mengisi ruang kelas sederhana di Jalan Raja Bot.

Bermula sebagai sebuah inisiatif pendidikan alternatif berasaskan komuniti (Majlis Tahlil & Selawat), PPKCK lahir daripada kesedaran bahawa masih ramai anak-anak kota yang tercicir bukan kerana mereka tidak mahu belajar, tetapi kerana latar belakang keluarga dan persekitaran sosial tidak mengizinkan. Anak-anak asnaf, anak yatim, miskin bandar dan mereka yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri menjadi wajah-wajah yang mengisi ruang kelas sederhana di Jalan Raja Bot.

Namun perjuangan PPKCK tidak terhenti pada pembinaan anak-anak sahaja. Pusat ini turut memberi perhatian kepada Ibu Aminah iaitu golongan ibu tunggal dan asnaf, keluarga miskin bandar, gelandangan serta komuniti setempat yang memerlukan sokongan. PPKCK memahami bahawa untuk membina seorang anak, keluarga dan persekitarannya juga perlu dikuatkan. Justeru, pendekatan yang dibawa bukan bersifat individu semata-mata, tetapi menyeluruh terhadap ekosistem komuniti.

PPKCK bukan sekadar pusat pembelajaran biasa. Ia adalah ruang pemulihan sosial dan pembangunan insan. Ruang yang membina jiwa dan kembali pada fitrah manusia.

Dengan membawa tema Membina Generasi Al-Fateh, PPKCK mengangkat satu gagasan besar melalui Modul Tiga Kota Suci yang berteraskan nilai Kota Mekah yang menanam iman, Kota Madinah yang membina mahabbah dan akhlak, serta Kota Baitul Maqdis yang memupuk kebijaksanaan akal. Modul Tiga Kota Suci ini digerakkan sehingga mencapai matlamat pemurnian akal dan pembinaan peradaban Islam. Pendidikan di sini tidak hanya mengajar membaca dan mengira, tetapi membentuk keseimbangan antara ruh, jiwa dan akal agar lahir generasi yang berfungsi sebagai khalifah yang membawa rahmat kepada masyarakat.

Di sinilah peranan strategik Adam Charitable Foundation (ACF) hadir sebagai rakan yang memperkukuh langkah. Sebagai rakan strategik, ACF bukan sekadar menyokong dari sudut sumber, malah menguatkan keseluruhan ekosistem pendidikan komuniti ini. Melalui jaringan, pembangunan kapasiti dan kolaborasi strategik, impak PPKCK diperluaskan daripada sebuah pusat komuniti kecil kepada model pembangunan insan bandar yang lebih tersusun.

Anak-anak di sini menerima pendidikan akademik asas yang memberi mereka keyakinan untuk kembali mencintai pembelajaran. Mereka dibimbing melalui amalan selawat yang menghidupkan jiwa, kelas Al-Quran dan fardu ain. Program motivasi dan kepimpinan membina keberanian serta keyakinan diri. Dalam masa yang sama, sokongan kebajikan seperti penyediaan makanan berkhasiat, program Ramadan dan inisiatif ‘Back To School’ memastikan tiada anak yang belajar dalam keadaan serba kekurangan. Perhatian yang sama turut diberikan kepada ibu dan keluarga agar mereka tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan.

Jaringan PPKCK berkembang merangkumi komuniti setempat, masjid dan surau, NGO, institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara serta jaringan nusantara dan antarabangsa. Semua ini membuktikan bahawa pendidikan komuniti memerlukan muafakat dan kebersamaan pelbagai pihak untuk benar-benar memberi kesan yang berpanjangan.

Hari ini ruangnya mungkin sederhana dan jumlah pelajarnya tidak ramai. Namun nilai yang dibina di dalamnya amat besar. Setiap anak yang kembali yakin untuk belajar, setiap ibu yang merasakan dirinya dihargai, setiap keluarga yang dibantu untuk bangkit semula, menjadi bukti bahawa sebuah generasi sedang dibentuk dengan penuh kesungguhan.

PPKCK bersama Adam Charitable Foundation sedang menulis sebuah kisah tentang harapan di tengah kota, tentang pendidikan yang mengembalikan fitrah, tentang pemurnian akal dan pembinaan peradaban Islam, serta tentang lahirnya generasi Al-Fateh dari lorong-lorong Chow Kit, Kuala Lumpur.