Sekretariat Kekeluargaan Sheikh Jumadil Kubro (SJK)
Suatu wadah penyatuan bagi mereka yang terkait dengan kekeluargaan (nasab) SJK daripada leluhur hingga ke cucu-cicit keturunan Baginda. Juga penyatuan atas dasar pertalian khidmat, ilmu dan rohani.
Pada abad ke-14 hingga ke-15 Masihi, di saat Nusantara sedang melalui fasa perubahan besar peralihan ke arah cahaya Islam muncullah seorang tokoh agung yang jejaknya merentas zaman, bangsa dan wilayah. Beliau ialah Sayyid Jamaluddin bin Sayyid Hussain al-Musawi al-Hussaini, yang lebih dikenali oleh umat Islam Nusantara dengan gelaran penuh kemuliaan, Syaikh Jumadil Kubra.
Berketurunan Rasulullah ﷺ, Syaikh Jumadil Kubra bukan sekadar seorang alim atau pendakwah, tetapi menjadi patriark kepada satu rantaian kekeluargaan besar yang kelak melahirkan ulama, raja-raja, dan penguasa tradisi di seluruh Alam Melayu dan Asia Tenggara.
Dari Patani, Kelantan, Kedah dan Terengganu ke Brunei, Sulu dan Mindanao dari Palembang dan Pagaruyung hingga ke Sulawesi, Banten, Cirebon dan Ternate nama dan warisannya berakar dalam sejarah kesultanan dan masyarakat Islam Nusantara.
Daripada jalur keturunan inilah lahir tokoh-tokoh besar yang membentuk wajah keilmuan dan kerohanian umat: para wali, ulama dan mursyid yang menjadi obor penyuluh zaman. Mereka bukan sahaja menyebarkan Islam, tetapi membina peradaban menggabungkan ilmu, akhlak, budaya dan kearifan tempatan dalam satu kesatuan yang harmoni.
Seiring perjalanan masa, warisan besar ini tidak terputus. Ia terus hidup dalam bentuk nasab, sanad keilmuan, bimbingan rohani dan khidmat kepada ummah.
Menyedari hakikat ini, lahirlah Sekretariat Sidang Kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra sebuah ikhtiar untuk mengangkat tokoh mulia ini sebagai ikon, induk dan titik kebersamaan dalam usaha penyatuan umat Islam hari ini, ketika ummah sedang berdepan cabaran dunia yang semakin mencabar dan kompleks.
Syaikh Jumadil Kubra dilihat bukan sekadar tokoh sejarah, tetapi simbol penyatuan ummah merentas kaum, bangsa dan wilayah. Beliau juga lambang pengukuhan tamadun, budaya dan peradaban Islam Nusantara yang dibina atas asas nilai-nilai yang kekal: iman yang teguh, ilmu yang berakar, akhlak yang luhur, dan ihsan yang menyuburkan kehidupan. Warisan kekeluargaan besar ini berpaksikan empat ciri utama:
Pertama, nasab, iaitu hubungan darah sama ada sebagai leluhur mahupun keturunan. Kedua, ilmu, melalui hubungan guru dan murid dalam jaringan keilmuan. Ketiga, rohani, melalui bimbingan dan tarbiyah kerohanian. Keempat, khidmat, iaitu pengabdian dalam pelbagai bidang kepada ulama dan umara daripada jaringan keluarga besar ini.
Inilah sebuah warisan yang berkongsi sejarah, salasilah dan nilai yang sama, melangkaui sempadan geografi, bahasa dan budaya. Dari Hijaz, Turki dan Baghdad ke Khurasan, Sin dan Hind seterusnya ke Nusantara di hujung Timur, terbentang satu Rantaian Emas Kekeluargaan yang pernah membangunkan peradaban gemilang.
Dalam era dunia moden yang sedang mencari-cari alternatif kepada kemerosotan tamadun materialistik, warisan Syaikh Jumadil Kubra tampil menawarkan satu jalan pulang kepada peradaban Timur yang berteraskan Iman, Islam dan Ihsan. Sebuah peradaban yang pernah melahirkan masyarakat aman, sejahtera dan selamat, dan yang berpotensi untuk dihidupkan kembali demi masa depan umat manusia seluruhnya.