
Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM)
HaRUM ditubuhkan pada 30 November 2011 di Shah Alam sebagai respon terhadap cabaran kemanusiaan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi di Malaysia serta Asia Tenggara. Sebagai gabungan NGO dan pertubuhan masyarakat, HaRUM menyatukan kepakaran dan tenaga pelbagai lapisan komuniti bagi memperkukuh semangat kekeluargaan dan persaudaraan serantau, di samping aktif melaksanakan program dalam negara serta penglibatan kemanusiaan dan perhimpunan NGO di peringkat antarabangsa.
HaRUM mengangkat inspirasi pembinaan masyarakat sejahtera sebagaimana yang dibentuk sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan era Khulafa’ Ar-Rasyidin, apabila iman, kasih sayang dan keamanan bersatu dalam kehidupan bermasyarakat. Berteraskan simbolik Tiga Kota Peradaban Islam : Mekah yang membina keimanan dan akhlak, Madinah yang menyemai kasih sayang dan kebajikan serta Baitul Maqdis yang melambangkan keamanan dan keharmonian. HaRUM berusaha menyebarkan nilai kemanusiaan melalui kebajikan, kesukarelawanan dan perpaduan sosial, demi membina masyarakat harmoni dan sejahtera untuk kesejahteraan sejagat.
Nilai-nilai ini menjadi tunjang setiap misi HaRUM, merentas batas kaum dan agama. Ketika pergolakan melanda Marawi beberapa tahun lalu, HaRUM hadir menyalurkan bantuan kemanusiaan, sambil menjalin hubungan erat dengan pelbagai pihak di lapangan termasuk pihak gereja tempatan yang turut memberikan sokongan dalam misi tersebut. Kerjasama ini bukan sekadar memberi bantuan fizikal, tetapi manifestasi nilai kemanusiaan sejagat, yang mengutamakan keprihatinan, menghormati pegangan masing-masing dan berganding bahu memulihkan kesejahteraan komuniti yang terkesan.
Sejak penubuhannya lebih sedekad lalu, HaRUM telah melaksanakan pelbagai program di dalam dan luar negara, termasuk Kempen Prihatin HaRUM, Bantuan Bencana, Projek Komuniti, kolaborasi strategik tempatan serta misi antarabangsa seperti Qurban Kasih HaRUM dan bantuan kemanusiaan di Filipina, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh sebagai usaha berterusan menanam nilai kemanusiaan, keharmonian dan kasih sayang dalam masyarakat.
HaRUM komited untuk terus memperkukuh usaha berteraskan inspirasi tiga kota peradaban Islam. Keimanan yang memandu kehidupan, kasih sayang yang mengikat hubungan sesama insan dan keamanan yang menjamin kesejahteraan bersama. Dengan sokongan masyarakat dan rakan kolaborasi, HaRUM yakin nilai-nilai ini mampu merapatkan jurang kemanusiaan, menyemai harapan baharu, dan membentuk generasi yang bertanggungjawab, prihatin dan hidup dalam kedamaian.